Projek terowong: PP didakwa buat kiraan berganda


Kementerian Kerja Raya mengecam exco Pulau Pinang berhubung isu bayaran kepada syarikat perunding pembinaan lebuh raya menghubungkan terowong dasar laut di negeri berkenaan.

Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata penjelasan oleh Chow Kon Yeow yang mendakwa bayaran bernilai RM177.5 juta itu wajar tidak boleh diterima.

"Justifikasi itu tidak benar dan boleh dianggap sebagai perkiraan berganda.

"Kebanyakan 10 komponen tambahan disebut Chow adalah subkomponen sama ada penilaian kesan alam sekitar terperinci (DEIA), kajian kemungkinan atau reka bentuk terperinci," kata Fadillah dalam satu kenyataan hari ini.

Pada sidang media 24 Jun lalu, Chow (gambar) dipetik The Star dan The Sun sebagai berkata bayaran RM177.5 juta kepada syarikat perunding untuk reka bentuk terperinci itu turut membabitkan 10 bidang tugas lain.

Ia membabitkan kerja-kerja ukur tanah, reka bentuk terowong darat, reka bentuk seni reka, mekanikal dan elekrtikal, pengurusan projek, kajian kesan sosial, trafik dan dana," katanya.

Fadillah bagaimanapun berkata laporan kajian DEIA, kesan sosial, trafik dan kelayakan kewangan serta pengurusan dana adalah komponen bagi kajian kelayakan projek itu.

Katanya, kerajaan negeri sudah membayar RM31.2 juta untuk komponen berkenaan sebelum ini.

"Berdasarkan maklumat diberi, kami dapati yuran perundingan prapembinaan yang menyeluruh bagi 20km jalan raya adalah RM208.7 juta - terdiri daripada RM31.2 juta untuk kajian kemungkinan dan RM177.5 juta untuk reka bentuk terperinci.

"Kementerian dan Lembaga Jurutera tetap dengan pandangan kami bahawa jumlah yuran yang dibayar untuk tiga jalan terbabit jauh daripada garis panduan kami dan berlebihan," kata Fadillah.

Projek terowong berkenaan membabitkan empat pakej iaitu laluan dari Tanjong Bungah ke Teluk Bahang, dari Lebuh Raya Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam, Lebuh Raya Dr Lim Chong Eu Highway ke Pesiaran Gurney, dan terowong itu sendiri yang bertindak sebagai laluan ketiga menghubungkan bahagian pulau dengan Seberang Perai.
Projek bernilai RM6.34 bilion itu adalah sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang dijangka siap pada 2030.

Bagamanapun projek pembinaan terowong itu tertangguh sejak 2013.

Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Google+
Tags :

Related : Projek terowong: PP didakwa buat kiraan berganda

0 comments:

Post a Comment